SEJARAH KG TALANG

        Kg. Talang adalah sebuah perkampungan yang berasaskan pertanian sebagai mata pencarian utama penduduk.Hasil – hasil utama berasaskan pertanian di kampung ini ialah getah, padi,kelapa sawit dan tanaman kontan lain seperti pisang, sayuran dan sebagainya.Kampung ini juga pernah diterokai oleh pendatang cina untuk bercucuk tanam. Selain pertanian penduduk kampung ini juga menjalankan penternakan ikan air tawar, lembu, kerbau dan kambing untuk menjana pendapatan tambahan. 

        Asal kewujudan Kg. Talang adalah bermula semasa penduduk asal meneroka hutan untuk dijadikan kawasan bendang( sawah padi ). Dengan bentuk geografi yang mempunyai dua lembah diantara satu permatang ( tanah tinggi ), maka datanglah penduduk dari tempat lain kesini untuk bertalang.Bertalang bermaksud menanam padi pendahuluan( padi lembut ). Oleh itu berpakatlah mereka untuk mewujudkan sebuah perkampungan disini dengan nama Kg. Talang.Majoriti penduduk di sini adalah Melayu beragama Islam. 

        Pada tahun 1956, kampung ini telah menarik perhatian ramai dengan pembinaan satu landasan kapal terbang yang menyediakan perkhidmatan penerbangan ke Ipoh. Antara jenis kapal terbang yang digunakan ialah PERGAM dan NURI. Kadar tambang yang dikenakan ketika itu ialah sebanyak RM5.00 sahaja untuk satu hala. Namun begitu ia hanya bertahan beberapa tahun sahaja akibat beberapa masalah yang timbul.

       Akhirnya kawasan tersebut dijadikan Padang Ragut Celung Gajah. Hingga kini masih aktif dengan kegiatan penternakan lembu, kerbau dan kambing.



No comments:

Post a Comment